Selasa, 12 Mac 2013

Al Kisah Baitul Muslim::Donat::


Sepasang suami isteri sedang menikmati dinner. Walaupun berdua, makanan yang ada agak banyak. Setelah ‘menamatkan’ hidangan berat, mereka beralih kepada hidangan ringan… . Donat. Mereka beralih kepada donat. Donat bersaiz sederhana, dilimpahi dengan coklat cair di atasnya, cukup membangkitkan selera. Si isteri mencapai satu daripadanya, bersiap sedia untuk merasai kelazatan donat tersebut. Baru sahaja donat tersebut menghampiri barisan giginya yang bersedia bila-bila masa untuk memulakan tugasan mengunyah, si suami dengan cepat-cepat menegur:

“Jap jap Sayang… kejap.. chup chup” Katanya dengan pantas dan sepantas itu juga dia memegang tangan isterinya agar terhalang donat itu dari terus memasuki ‘mesin kisaran semulajadi’.

Ya, sebelum terlewat dia harus cepat bertindak.

Si isteri terhenti tiba-tiba. Persoalan menerjah ke dalam fikirannya; kenapa ya? Adakah ada sebarang kotoran pada donat tersebut? Atau ada apa-apa serangga merayap di atas donat tersebut, yang dikhuatiri akan melompat-lompat masuk ke dalam mulutnya, dan seterusnya menjadi ‘perisa tambahan’ tidak diundang..? Lipas, barangkali..?

“Aaa… !” Si isteri seakan hampir menjerit. Riak wajahnya berubah kerana risau. Matanya melihat sekeliling donat itu, andai ada sesuatu yang menakutkan merayap-rayap di situ. “Kenapa Abangku Sayang? Ada serangga merayap ke? Yang macam belalang tu, yang suka melompat-lompat tue.. yang coklat gelap hitam-hitam tu?” Soalnya dengan nada risau.

“Tak tak…bukan camtu..” Balas suaminya.
“kalau camtu, nape Abangku Sayang?”
Suaminya tersenyum lebar, “Ni.. ini kan donat kan?”
Isterinya terdiam 1.2 saat dengan mata membulat seolah agak kebingungan “Ye.. memang ini donat. Nape..??” Soalnya seolah memujuk dan tidak sabar mengetahui misteri di sebaliknya.
“Hehe.. ini donat…” Balasnya. “Dan ini donat pertama yang kita makan bersama… semenjak kita menjadi suami isteri, semenjak kita berdua membina mahligai kasih bersama”
Isterinya tersenyum riang bercampur lega “ Abangku Sayang ni..! Ingatkan apa dah tadi.. Ye, ini donat pertama kita bersama…”
“So, donat yang pertama ni, dengan suapan yang pertama ni, biar Abang yang suapkan pada Sayang… boleh tak Sayangku Puteri si Pipi…?”
“Haha..mesti la boleh..nak nak… cepat lah” Si isteri bercanda riang.
“Ok.. Sayangku pejam mata”.

Si isteri memejam matanya. “Buka mulut, nak suap ni…” kata suaminya, sambil tangan kanan mencapai donat. Si isteri membuka mulutnya. Namun agak kecil bukaannya. “Nganga mulut luas sikit…” Suaminya menyambung. Lalu si isteri membuka mulutnya lebih luas lagi.  Matanya terpejam rapat.
“Ok… baca bismillah dulu ye”
“Bismillah…” Lafaz si isteri dengan mata yang masih terpejam.
“Ok.. Abang start suap ye… nganga mulut luas lagi”. Kata si suami sambil menghalakan donat coklat itu ke dalam mulut isterinya yang tercinta. Donat itu meluncur dengan lancar, semakin menghampiri, semakin hampir, dan semakin hampir ke dalam mulut si isteri. Serentak sahaja donat itu memasuki ruang ngangaan, si isteri menggigit donat coklat yang lembut lagi empuk tersebut.
“AAUUUMM…” Serentak itu juga si isteri terdengar ngauman. Tetapi ngauman itu agak aneh, ia bukan dari harimau atau singa, tetapi ia seperti suara manusia…lebih tepatnya suara lelaki, dan lebih tepat lagi adalah suara suaminya sendiri. Spontan matanya terbuka, hatinya dicuit kegelian lalu terhambur ketawa yang tak tertahan lagi. Dilihatnya suami sedang menahan ketawa. Kepalanya tertunduk, sambil tangan menutup mulut menahan ketawa, tapi akhirnya pecah juga.
“Hihihihi…hahaha..”

Nakal betul suamiku ini, menjadikanku harimau kali ni, getusnya. Patutlah tadi tidak henti-henti suruh pejam mata dan buka mulut luas-luas. Terbayang seolah-olah dia adalah anak harimau comel kelaparan yang sedang mengunyah donat bersalut coklat. Donut yang empuk dan sedap itu bertambah empuk dan sedap… Suaminya memang suka mengusik… !

Rasulullah bersabda, “Semua bentuk permainan itu batil bagi anak Adam, kecuali tiga perkara, melepaskan panah dari busurnya, dan senda gurau (bermain-main) bersama keluarganya kerana itu adalah hak bagi mereka” (HR at-Thabarani) [1].

“Sesungguhnya nabi adalah seorang yang suka bergurau senda dengan isterinya. Ya Allah Jadikan kami pengikut baginda yang sejati, suami yang terbaik untuk isteri kami… ”

* Kisah ini diinspirasikan dari kisah adik beradik penyusun bicara sewaktu kami kecil, sewaktu kakak bergurau senda dengan penyusunbicara.

[1] HR at-Thabarani dalam al-Kabir dan an-Nasa’I dalam al-‘Usyrah serupa dengannya dan dia terdapat dalam as-Silsilah as-Shihah karangan al-Bani, no. (309).

La Haula Wala Quwwata Illa Billah::


‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’

‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ bermaksud ‘tiada kekuatan dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah’. Ucapan ataupun lafaz ini dipanggil hauqalah. Terdapat beberapa kelebihan bagi mereka yang menyebut lafaz hauqalah ini. Mari kita lihat hadis riwayat Bukhari berkenaan lafaz ini:

Dari Abu Musa: Kami bersama Nabi SAW. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda berkata: “Wahai manusia kasihilah diri kalian/jangan terlalu menyusahkan diri kamu, kerana kamu tidaklah menyeru zat yang tuli atau jauh, akan tetapi ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Lalu baginda mengatakan: “Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkanlah ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaan yang tersimpan di syurga”. Atau baginda berkata: “Tidakkah kamu mahu aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? La Haula Wala Quwwata Illa Billah” [1].

Kemudian mari kita lihat pula sebuah hadis lain:
Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani).

Daripada dua hadis ini, apa yang boleh kita dapati sebagai keuntungan apabila mengucapkannya adalah:
1. Mendapat balasan harta kekayaan di syurga kelak. Ia seolah-olah menjadi sumber kepada harta kekayaan di syurga; setiap ucapan akan di ‘redeem’ dengan sejenis harta yang bernilai kelak. Semakin banyak disebut, semakin kaya dan semakin banyak harta tersebut akan kita perolehi. Siapa yang tahu harta itu bagaimana rupa dan bentuknya? Tiada siapa yang tahu. Jika nak tahu, perlu masuk syurga terlebih dahulu, betul? Siapa yang mahu banyak harta itu, perbanyakkanlah menyebutnya. Dari sudut psikologi, seolah-olah Nabi cuba membangkitkan rasa ingin tahu, kemudian diikuti dengan wujudnya sedikit unsur ‘surprise’, agar kita sama-sama merasai keterujaan untuk menambah amal dan seterusnya menjadi penghuni syurga yang tinggi darjatnya.

2. Menjadi ubat kepada 99 jenis penyakit, salah satunya adalah kebimbangan. Mungkin kepada para pelajar, mahasiswa dan mahasiswi yang sedang bimbang dengan urusan pelajaran masing-masing, misalnya yang sedang sibuk menyiapkan tesis… Mungkin adakalanya kita mengalami kebuntuan dalam menyelesaikan tesis, tugasan dan sebagainya… maka, lafazkanlah ucapan ini, dengan menghayati dan meresapkan pengertian ‘tiada kuasa dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah’ ke dalam hati. Sesungguhnya tesis itu, tugasan itu, kebuntuan dan cabaran itu, semuanya adalah dari Allah. Semuanya ciptaan Allah yang diletakkan dalam diri kita. Allah letak, bukannya Allah campak. Dia meletakkannya secara elok-elok. Jika kita menyedari hakikat bahawa ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah ciptakan, siapalah lagi yang boleh menghilangkannya dan menjadikan keadaan stabil seperti sediakala? Tentu sahaja Allah. Dia menciptakan, hanya Dialah yang mampu menghilangkannya. Tentu sahaja. Dan kita tiada kuasa walau sedikit pun.

Kisah berkenaan::
-Mavi Marmara
Ini mengingatkan penyusunbicara tentang suatu kisah benar yang diceritakan oleh aktivis jamaah yang telah mengikuti pelayaran kapal Mavi Marmara ke Palestin suatu ketika dulu. Semasa ditahan di dalam kapal, beliau dibaringkan dan dipijak oleh penceroboh. Dalam kesakitan, beliau mengatakan dalam hatinya lebih kurang begini isinya: ‘Ya Allah, kaki yang memijakku ini adalah kaki hambaMu, dia tak dapat mendatangkan mudarat pun, melainkan jika dengan izinMu (dia tak berkuasa pun, hanya Engkau saja yang berkuasa)’.. Kemudian kesakitannya hilang. Dia menjadi keliru, (adakah dia pengsan atau separuh sedar), tapi akhirnya dia menyedari bahawa dia sedar sepenuhnya. Dan tidak jauh darinya ada yang telah terkorban. Darahnya berbau wangi, semerbak. Itulah tanda kekuasaan Allah, penghormatan buat mereka yang syahid. Sesungguhnya, mudarat ataupun kesakitan yang dialaminya walaupun secara pandangan mata kasar adalah didatangkan oleh manusia… namun hakikatnya Allah yang mengizinkannya berlaku. Dan Allah jua yang mampu menghilangkannya.

-Bilik kolej
Sewaktu penyusunbicara datang pada semester baru untuk mendaftar bilik di kolej, masalah berlaku. Sebelum ini sudah dihubungi pihak pentadbiran, dan mereka menyatakan boleh datang mendaftar pada tarikh sekian-sekian. Namun apabila datang pada tarikh tersebut, mereka menyatakan perlu tunggu lagi satu minggu. Penyusunbicara cubamenyelesaikannya secara menghubungi pihak atasan syarikat, namun hanya menemui jalan buntu. Maka terpaksalah menjadi gelandangan. Terbayang akan menjadi gelandangan selama seminggu atau mungkin lebih, dalam hati rasa biasa-biasa, ‘mungkin ini pengalaman yang susah dapat’ bisik hati ini. Penyusunbicara menunaikan solat sunat, dan sengaja memperbanyakkan ucapan ‘Alhamdulillah’.Ya, Alhamdulillah syukur menjadi ucapan yang diperbanyakkan, kerana walaupun susah tiada tempat tinggal, tetapi apabila mengenangkan ramai muslim di luar sana yang dihimpit kemiskinan, fakir – sesungguhnya penyusunbicara adalah jauh lebih beruntung keadaannya berbanding mereka semua. Tidak patut rasanya jika lupa atau enggan untuk bersyukur hanya kerana musibah kecil dan sementara ini, sedangkan pada masa sama nikmat yang diperolehi adalah lebih banyak. Lagi pula, kerana lokasi terget adalah masjid. Ini bermakna lebih banyak masa akan dihabiskan dalam masjid, bermakna lebih banyak pahala mudah yang akan didapati hanya dengan hasil niat iktikaf. ‘Takpelah, dapat tambah pahala, Allah memang saje nak aku duduk lama kat rumah Dia’, bisik hati ini. Ibu menelefon bertanyakan khabar, dan akhirnya terbongkar juga masalah yang dihadapi. Ibu kerisauan. Beg diletakkan di masjid. Malam itu masjid menjadi tempat tidur. Keesokan petangnya selepas asar, penyusunbicara bergerak ke surau kolej. Duduk di dalamnya sambil melakukan kerja sedikit. Memandangkan orang masih tak ramai, dalam surau itu sempat juga penyusunbicara menyanyi kecil. Lagu Maher Zain bertajuk ‘Freedom’.

Tiba-tiba ada seorang akak dari pentadbiran kolej masuk ke ruang lelaki dan beliau mula bertanyakan tentang saya. Seterusnya menawarkan bilik kosong kepada saya. Alhamdulillah dapat bilik, dan masalah telah selesai. Rasanya, akak itu kehairanan dengan suara nyanyian penyusunbicara, itulah yang menyebabkannya masuk ke ruang solat lelaki tiba-tiba. Setelah dapat kunci, tanpa berlengah penyusunbicara menelefon ibu, bertanyakan “Ma ada doa(berhubung masalah ketiadaan tempat tinggal) ke semalam? Doa camne?” Ibu memberitahu sememangnya ada. Di kala ibu tersedar tengah malam, ibu mendoakan keadaan saya dan mengucapkan ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ dan juga ‘Rabbi yassir wala tu’assir’ (Tuhan, permudahkanlah, janganlah disusahkan). Berulang-ulang. Rupanya, berita saya tidak mendapat bilik pun  sampai kepada nenek. Berkat doa ibu, nenek dan zikir-zikir yang diajarkan Nabi. Juga, mengajar diri yang hina ini agar tidak lupa bersyukur di kala ditimpa musibah.


“Tiada daya dan upaya melainkan dengan Mu Ya Allah

[1] Sahih Bukhari Jilid 009, Buku 093, Hadis Nombor 484.

Jumaat, 18 Januari 2013

Syeikh Suraim & Majlis Nuzul Al Qur'an


::Jumpa catatan lama, tahun 2010, tentang Ramadhan 1431H/2010M::

Pada 25 Ogos 2010,Rabu, UKM menerima kunjungan dari Imam Misjidil Haram iaitu Syeikh Saud Shuraim dan Imam dari Mesir sebagai imam tarawih 8 rakaat dan witir 3 rakaat. Dari perbualan dengan imam UKM saya dapat mengetahui, untungnya, kedatangan imam-imam ni adalah dibawa oleh pihak luar, mungkin VIP-VIP dan UKM tidak mengeluarkan belanja pun untuk tujuan ini. Pada tarikh tersebut juga, telah diadakan sambutan Hari Wanita Kebangsaan (kalau tak silap namanya) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia (menurut maklumat yang terpapar pada kain rentang)dan juga majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh VIP-VIP. Jadi, majlis berbuka puasa harian di masjid UKM tiada pada hari itu. Bubur lambuk diagihkan kepada para pelajar.

Berbalik kepada pengalaman bertarawih, bersolat jamaah diimamkan oleh ke dua-dua imam ini..ternyata memberi pengalaman yang cukup berbeza dan sungguh hebat sekali. Ya, meskipun apa yang penting semasa solat adalah kekhusyukan yang hadir dari hati yang takutkan kepada Allah, hadir dari rasa ketakwaan dan iman dalam diri, mungkin tidak salah jika kita menyatakan kekaguman tentang bacaan yang telah disempurnakan oleh imam-imam yang istimewa ini. Bacaan oleh Syeikh Syuraim memang memberi getarannya yang tersendiri, kerana terhasil dari kefahaman yang jelas tentang apa yang dibacanya, selain dibantu oleh kekuatan vokalnya. Semasa membacakan doa qunut (dalam solat witir) , dapat dilihat beliau meletakkan penekanan suara yang bersesuaian dengan makna doa. Ketika sampai ke bahagian memohon penghindaran dari api neraka (Jika tidak silap), getaran suaranya adalah seperti alunan tangisan. Sama ada ia disengajakan atau tidak, bacaannya mampu memberi kesan kepada jemaah, meskipun kita tidak memahami maknanya. Ya, tanpa sengaja saya perasan pakcik di sebelah saya seperti mengesat air mata dan saya rasa pakcik itu tidak memahami bahasa Arab. (adakah ini bermakna saya tidak khusyuk kerana perhatian mampu ditarik oleh sesuatu di sekeliling? tidak pasti..apa yang pasti perlu ambil perhatian tentang perkara ini di lain waktu).

Jika di lihat pada bacaan Syeikh Shuraim di youtube, apa yang saya boleh katakan bacaannya pada malam itu di Masjid UKM memang berbeza, yang mana ia lebih betenaga, dan lebih banyak menonjolkan kemerduan dan kekuatan suaranya. Dengan kehadiran kedua-dua imam tersebut pada malam itu, telah memberi satu pengalaman yang cukup berharga pada saya, memandangkan bukan senang untuk merasai pengalaman berimamkan imam dari Masjid Suci Mekah, dengan alunan suara yang cukup istimewa, sesuatu yang akan saya rindui mungkin. Bukanlah niat untuk membandingkan dengan imam di Malaysia, namun inilah pengalaman yang saya kira cukup berharga pada Ramadhan 1431 Hijrah / 2010 M kali ini. Masya Allah. Alhamdulillah.

Syeikh Shuraim. May Allah bless him and all of us.


Masjid UKM yang dikasihi..lepas grad nanti tak dapatlah pergi selalu..kasihan masjid ni..lihatlah. kasihan masjid ni kan?

Masjid UKM-ruang masuk...

Baiklah, keesokannya pada 26 Ogos 2010 diadakan Majlis Nuzul Al Qur'an, tahlil dan ceramah di Masjid UKM. Saya mahu catatkan di sini poin-poin ceramah yang telah disampaikan oleh pensyarah Jabatan Al Qur'an dan Sunnah UKM, supaya menjadi ingatan kepada saya dan sesiapa sahaja, di samping menjadi tempat rujukan/ simpanan ilmu yang telah saya perolehi. Jika ada kesilapan (mkalumlah saya tidak mencatat semasa mendengar ceramah itu ) maaf dipinta dan sila rujuk mereka yang lebih pakar untuk pengesahan.
Baiklah.
Menurut [...Jalaludin..tak pasti namanya], Tafsiran makna Al Qur'an boleh dibahagikan kepada 3:
1. Suatu mukjizat.
2. Pelembut / penyuci jiwa.
3. Sesuatu yang kita beroleh pahala dengan membacanya.

1. Mukjizat
Ayat-ayat Qur'an tidak mungkin dapat dicipta seumpamanya oleh manusia, dari dahulu, sekarang sehingglah sampai bila-bila pun. Dalam Surah Al Baqarah telah Allah cabar supaya didatangkan suatu ayat seumpama Qur'an dan dinyatakan sesungguhnya kamu (musyrikin) tidak akan mungkin dapat melakukannya. Inilah bukti ayat-ayat Qur'an yang kta baca, kita tatap hari dan kita baca bersungguh semasa bulan Ramadhan ini merupakan ayat-ayat dari Tuhan Yang Maha Esa! Words of God - Allah the Almighty! Bukannya sebarangan ayat. Di dalamnya terkandung panduan hidup dan peringatan-peringatan di sana sini.
Ada kisah yang dibawakan oleh penceramah bhawa seorang peremppuan berjalan di tengah malam berseorangan ketakutan kerana diperhatikan oleh seorang lelaki yang mencurigakan, maka perempuan itu membaca ayat kursi, dan lelaki yang mencurigakan itu hanya melihat perempauan itu ketika dia melintasinya. Keesokannya terpapar berita lelaki itu ditankap kerana melakukan jenayah kepada mangsa perempaun. Perempuan tadi itu pergi ke balai polis dan bertanya kenapa dia tidak di apa-apakan. Lelaki itu mengatakan , itu kerana dia melihat ada 2 orang lelaki yang sedang berjalan mengiringinya ketika itu...siapakah 2 orang lelaki itu?
itulah pertolongan Allah..

2. Pelembut jiwa.
Umar al Khattab yang terkenal bengis dan ganas sebelum pengislamannya, telah tunduk kerana beberapa potong ayat Qur'an! Dalam kemarahannya setelah memukul adik perempuannya yang memeluk Islam, dia masih meminta untuk melihat lembaran ayat Qur'an yang dibaca oleh adiknya. Malah dituruti kata adiknya supaya membersihkan diri sebelum boleh memegang dan membaca ayat itu! Maka dibaca olehnya Surah Thohaa. Lalu katanya " indahnya ayat Qur'an ini" dan seterusnya membawa kepada pengislamanya. Dari seorang yang bengis, Umar menjadi seorang yang lembut jiwannya. Menangis apabila membaca Qur'an. Diriwayatkan beliau mengis sehingga basah bajunya semasa menjadi imam dan terzahir kesedihan diwajahnya sehingga disedari oleh makmum dibelakangnya semasa memberi salam. Beliau sedih mengenangkan kisah Nabi Yusuf yang ditinggalkan dalam perigi oleh saudaranya. Penceramah pernah melihat sendiri perigi itu yang mana ia bukanlah sama seperti perigi yang biasa kita jumpa. Ia sangat dalam dan gelap malah dibuat tangga untuk pengunjung memasukinya.
Seorang rakan penceramah menangis sewaktu membaca surah Yusuf, mengenangkan nasib Nabi Yusuf semasa kecil siperlakukan sebegitu oleh sadaranya. Ini lahir dari pemahaman mengenai apa yang dibacanya.

3. Sesuatu yang kita beroleh pahala dengan membacanya.
ya..dapat pahala jika membacanya. juga perlu tadabbur / memahaminya.

Apa lagi poinnya? macam nak lupa pula..lagipun penat menulis ni, sambung lain kali..


Jumaat, 11 Januari 2013

BM::


Bagaimanakah caranya untuk membahagiakan isteri? Banyak caranya, dan jika ingin dibincangkan, memang panjang dan banyak pula sub topik yang akan terlibat. Jika ingin disenaraikan dengan cara yang menyeluruh dan lengkap, ia memerlukan masa untuk menyenarai, menyusun, menghurai dan sebagainya. Bagaimanapun buat permulaan, penyusunbicara menulis apa yang terlahir, yang paling pantas berlegar di minda.. Ia tidak tersusun dan tidak dihurai dengan kemas, namun apa yang penting-tulis terlebih dahulu.

Agama
Sebagai seorang suami, tanggungjawab mengemudi rumahtangga terletak di bahunya. Bagaikan nakhoda yang mengemudi kapal. Sesedorang pengemudi perlu membawa kapal dan segala isinya menuju ke destinasi yang benar, dengan laluan yang betul, dengan cara yang indah. Tahu mengawal kapal yang terumbang ambing dipukul ombak, tahu bagaimana menghadapi ancaman cuaca yang buruk dan segala cabaran yang merintang. Itulah tugasnya. Itulah nature nya seorang suami. Namun, semua itu memerlukan kekuatan dalaman.. kekuatan rohani dan jiwa. Kekuatan minda untuk merencah pengetahuan. Kesensitifan hati. Dan, secara ringkas boleh dikatakan bahawasanya, semua itu perlu dicapai dengan agama Islam. Iaitu seorang suami memerlukan keagamaan yang kukuh dalam dirinya. Bahagikan ia kepada dua bentuk: 1) Ilmu agama. 2) Penjiwaan/praktikal ilmu agama.

Carilah ilmu agama dan praktikkan ia dalam kehidupan. Praktikkan dalam hati, praktikkan dalam percakapan, praktikkan dalam tiap gerakan pancaindera. Sungguh sukar, dan sampai ke detik terakhir pun kita tidak akan mampu menjadi sempurna tanpa sebarang dosa, kerana sifat manusia sememangnya tidak terlepas dari berbuat kesilapan. Allah berfirman dalam surah an Najm, (ayat tak ingat, mungkin 31) ”..janganlah menganggap diri kamu suci”. Jangan cepat putus asa andai tidak sempurna. Tapi yang perlu diberi perhatian adalah sejauh mana kita menghampiri kesempurnaan. Itu yang membezakan tahap kebaikan dan kebagusan seorang suami terhadap isterinya.

Baiklah, pentingnya agama untuk suami dalam menjaga keharmonian dan keromantisan rumahtangga itu sudah umum diketahui. Dari subjek ini sahaja, akan mampu kita cambahkan pelbagai perkara lain untuk diteliti satu per satu. Maka, apakah lagi yang boleh dilakukan untuk membahagiakan isteri tercinta..hmm..sesuatu yang bersifat lebih terperinci bentuknya? Yang jarang kita perolehi dari sumber-sumber ahli agama.

Kata-Kata
Kata-kata anda. Ya, kata-kata kita sebagai suami: cubalah perhalusi, jaga dan tingkatkan kualitinya. Bagaimana maksudnya itu..? Biasakanlah mengucapkan kata-kata yang bersifat:
-indah.
-romantis.
-mengharukan dan menyentuh jiwa.
Kata-kata yang bersifat seperti di atas tidak hanya bergantung pada ayat atau perkataan yang digunakan semata-mata tetapi juga dari segi suara. Kepelbagaian nada suara: suara lembut, suara manja, suara macho, suara lucu mengusik dan sebagainya.. Asas yang mudah untuk semua ini, yang pertama adalah biasakan dengan suara yang lembut tatkala berbicara. Apabila suara sudah biasa dengan nada lembut, apabila lidah kita sudah terbiasa dengannya.. akan mudah terlahir kata-kata yang bersifat indah dan menyentuh jiwa.. Tentu isteri cair hari-hari kan.  Mungkin agak sukar bagi mereka yang sememangnya terbiasa bercakap dengan kata-kata yang kuat, tegas, garang dan seumpamanya.. Beruntunglah mereka yang secara semulajadinya dilahirkan bersuara dengan kata-kata yang lembut dan baik (awas, kata-kata yang lembut..bukan lelaki lembut).


Bersyukurlah kepada Allah, bahawasanya anda memang dilahirkan sebagai pembahagia sejati isteri. Isyqqteri yang tercinta adalah permaisuri hati suami.

Layanilah isteri bagaikan puteri, bagaikan permaisuri...

Jumaat, 4 Januari 2013

Pembongkaran Isu Syria oleh Prof Dr Muhammad Ali Al-Sobuni



Ceramah/majlis:Pembongkaran Isu Syria.
Tokoh: Syeikh Prof Dr Muhammad Ali Al-Sobuni. Berumur 83 tahun. Ulama tafsir yang masih hidup. Pengarang kitab tafsir Al-Sobuni.

Tarikh: 17/12/2012.
Masa: selepas maghrib.
Tempat: Surau Annur, Bandar Baru Bangi.

Alhamdulillah, penyusunbicara berkesempatan hadir. Penterjemah disediakan. Ada seorang syeikh lagi yang saya tidak pasti siapa namanya, berikut adalah gambar mereka:
Dari kiri: penterjemah, Syeikh Prof Dr Muhammad Ali, dan temannya si 'syeikh muda'.

Kebanyakan isi ceramah disampaikan oleh syeikh muda tersebut. Prof Muhd Ali Al-Sobuni memberikan sedikit kata-kata pada akhir ceramah. Ulasan ringkas tentang ceramah ini:

Mereka mengadakan tour di Malaysia, bergerak ke serata negeri di Malaysia maka jadual mereka padat. Tujuan atau objektif tour mereka pada saya adalah:
a)       Memberi kesedaran dan menaikkan semangat juang atau jihad di kalangan muslim Malaysia, khususnya berkenaan isu di Syria. Muslim Malaysia mungkin tidak diharapkan untuk berjihad secara fizikal (berperang), namun jihad yang boleh dilakukan antaranya adalah jihad harta. Selain doa.
b)      ‘Test-market..’ / melihat tahap respon, kesediaan muslim malaysiadalam menghadapi ‘serangan’ musuh Islam. Dari sini mereka boleh menilai sejauh mana respon muslim Malaysiaterhadap isu-isu berkaitan jihad dan umat pada waktu sekarang dan masa akan datang; sejauh mana umat Islam Malaysiabersatu. Seandainya pada masa akan datang, muslim Malaysia menghadapi situasi yang memerlukan mereka bangkit berjuang-adakah mereka cukup kuat? Adakah mereka berada dalam keadaan sentiasa bersedia? Adakah mereka boleh diharapkan dalam memainkan peranan membantu kebangkitan Islam? Jawapan kepada persoalan seumpama ini boleh dibuat agakannya berdasarkan lawatan dan tour mereka di Malaysia.. berdasarkan respon yang diterima dari hadirin.

Ceramah diselangi dengan laungan takbir oleh semua hadirin dengan agak kerap.

Ceramah mereka disampaikan dengan bersemangat dan suara yang lantang. Demikian juga penterjemah, menghidupkan lagi suasana.

Di antara isi ceramah:
-Pendapat seorang wakil dari Palestin berkenaan isu Syria. Wakil itu berpangkat Dr. (tidak dinyatakan doktor apa). Rakyat Palestin sekurang-sekurangnya masih mempunyai sokongan kerajaan sendiri dalam menghadapi peperangan. Namun apa yang dihadapi oleh rakyat Syria-kerajaan sendiri yang memerangi mereka. Mereka tidak mempunyai suatu kuasa yang benar-benar boleh dijadikan tempat bergantung harap.
-Kebangkitan Islam di Palestin tidak akan berjaya selagi kejayaan di Syria tidak tercapai, berdasarkan hadis yang mereka sebutkan.
-Sesuatu yang membimbangkan, wujudnya pengaruh Syiah yang kuat di Syria.
-Seorang ibu tunggal yang hidup susah, (mungkin tahap miskin), menyedekahkan barang kemasnya yang bernilai sekitar RM8000, dengan diiringi harapan dan doa, agar anak-anaknya menjadi pejuang agama. Difahamkan nilai itu besar baginya memandangkan dia seorang yang tidak berharta dan hidup susah. Ada seorang hamba Allah di Malaysia menyedekahkan RM 100,000. 

Saya rasa, umat Islam perlu jadi kaya raya, nanti lebih banyak duit boleh diberikan kepada orang lain. Nilai pahala di sisi Allah bergantung kepada niat dan keikhlasan, dan sebesar mana nilai harta itu di sisi penderma dan sebesar mana pengorbanannya. Sedekah sebanyak RM 50 dari orang yang mempunyai RM 60  tidak sama dengan sedekah RM 1000 dari seorang yang mempunyai RM 1 juta.

Agak menarik perhatian, dua orang syeikh ini juga menunjukkan sisi humor mereka, di sebalik suasana peperangan, ketegangan, dan  kesengsaraan yang menimpa di Syria sekarang. Considerable sense of humor. Antara babak yang berlaku:

Ada suatu ketika, laungan takbir lemah. Syeikh muda itu berkata sesuatu, lalu dengan pantas penterjemah berkata : “ha Syeikh kata macam pondan”. Hadirin tergelak manja (gelak perlahan disulami perasaan malu pada diri sendiri, muingkin). Laungan takbir diulang, kali ini dengan kuat. Syeikh tersenyum sambil mengangkat tangan dan menunjukkan simbol ‘bagus’. (simbol ‘like’ kat facebook tu).

Pada penutup, Prof Muhammad Ali Al-Sobuni menceritakan beberapa kisah pendek yang agak aneh tapi kelakar. Antaranya, kisah seorang yang menderma untuk kebajikan, tetapi dia seorang peniaga arak. Kisah seorang muazzin tetapi sebenarnya beragama kristian. Sebelah kakinya terkena najis, lalu semasa mengumundangkan azan beliau mengangkat sebelah kakinya dengan alasan kerana kakinya itu bernajis. Sekali imbas kisah ini seperti tiada kaitan dengan isu Syria atau isu jihad? Tetapi mungkin mesejnya adalah situasi yang mana seseorang telahpun menyedari suatu kesilapan yang dilakukannya tetapi gagal untuk menyedari kesilapan lain yang lebih besar, yang dilakukan pada masa sama. Kegagalan memandang sesuatu dari perspektif yang meyeluruh.

Semoga Allah memberi keteguhan iman kepada seluruh umat Islam, khususnya di Malaysia. Semoga kami tidak tergolong dalam golongan mereka yang melupakan nasib umat Islam.

Semoga Allah memberi kemudahan dan ketenangan buat mereka yang sedang menghadapi peperiksaan sekarang..fighting fighting.. :)

Jumaat, 28 Disember 2012

Surah An Nahl, 16:99. Tawakal. Melindungi diri dari gangguan syaitan


A099
Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
[Surah An Nahl, 16:99]
Tafsir ibn Kathir: As-Sauri mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah syaitan tidak mempunyai kekuasaan untuk dapat menjerumuskan hamba-hamba Allah ke dalam suatu dosa yang mereka tidak bertaubat darinya. Ulama lainnya mengatakan bahawa makna ayat ialah syaitan tidak mempunyai kemampuan untuk menggoda mereka. Ulama lainnya lagi mengatakan, ayat ini semakna dengan apa yanag disebut oleh firmanNya dalam ayat lain iaitu dalam surah Al Hijr: 40, yang terjemahannya: ‘kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka’.

Di antara kaedah untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang diperolehi dari ayat ini adalah:
1)     Menjadi orang yang beriman.
2)     Menjadi orang yang berserah bulat-bulat(bertawakal) kepada Allah.

Untuk menjadi orang yang beriman yang sebenar-benar beriman, mungkin perlu untuk kita melihat dalam skop/pengertian yang luas dan menyeluruh. Ia tidak hanya cukup sekadar yakin dan percaya bahawa ‘Tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah’. Lihat rukun-rukun iman, dan mungkin ia tidak hanya cukup sekadar melihat rukun-rukun itu dari pandangan luar/’kulit’. Ia perlu diteliti pengertiannya lebih mendalam. Dan perlu kita berhati-hati dan memerhatikan dalam setiap gerak kerja atau perlakuan, percakapan dan pemikiran; adakah kita memenuhi kehendak-kehendak rukun-rukun iman tersebut.

Poin ke dua. Inilah di antara kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang bertawakal kepada Allah; tidak hanya dia dikasihi Allah, namun apabila seseorang itu memantapkan keimanan dan bertawakal, seseorang itu turut terhalang dari gangguan syaitan yang membisikkan kejahatan dan keraguan dalam hati.

Dalam ayat yang seterusnya (surah An Nahl:100),
A100
Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.

Tafsir Ibn Kathir: Mujahid mengatakan, makna ‘yatawallaunahu’ ialah orang-orang yang taat kepada syaitan. Sedangkan yang lainnya mengatakan bahawa orang-orang yang menajdikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah. Yakni mereka memepersekutukan syaitan dengan Allah dalam penyembahannya. Dapat ditakwilkan bahawa huruf ‘ba’ pada ayat ini (…bi hi musyrikin) bermakna sabahiyah, yakni disebabkan ketaatan mereka kepada syaitan, jadilah mereka orang-orang yang mempersekutukan Allah. Ulama lainnya mengatakan bahawa makna ayat ialah mereka bersekutu dengan syaitan dalam harta benda dan anak-anaknya.

Semoga Allah menetap dan mengukuhkan keimanan dalam hati kita, dan semoga Allah melindungi kita dari gangguan bisikan syaitan yang sentiasa mencari peluang merosakkan amal ibadah yang dilakukan saban waktu…



Jumaat, 21 Disember 2012

AkramArt:kisah di sebalik

Kisah di sebalik: pada asalnya dua subjek ini iaitu lelaki dan wanita adalah dua lakaran yang berasingan. Lelaki yang sedang duduk itu adalah lakaran yang dihasilkan sempena Ramadhan yang saya beri judul 'Mencari Al Qadr'. Lukisan wanita itu antara yang saya paling gemar, saya berikan judul sebagai 'bidadari'. Ada juga kisah di sebalik terhasilnya lakaran wanita ini..Kemudian dicantumkan dan diedit/diberi tambahan warna.. Ringkas sahaja, maka, terhasillah karya ini..