Selasa, 12 Mac 2013

La Haula Wala Quwwata Illa Billah::


‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’

‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ bermaksud ‘tiada kekuatan dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah’. Ucapan ataupun lafaz ini dipanggil hauqalah. Terdapat beberapa kelebihan bagi mereka yang menyebut lafaz hauqalah ini. Mari kita lihat hadis riwayat Bukhari berkenaan lafaz ini:

Dari Abu Musa: Kami bersama Nabi SAW. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka baginda berkata: “Wahai manusia kasihilah diri kalian/jangan terlalu menyusahkan diri kamu, kerana kamu tidaklah menyeru zat yang tuli atau jauh, akan tetapi ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Lalu baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Lalu baginda mengatakan: “Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkanlah ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaan yang tersimpan di syurga”. Atau baginda berkata: “Tidakkah kamu mahu aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? La Haula Wala Quwwata Illa Billah” [1].

Kemudian mari kita lihat pula sebuah hadis lain:
Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani).

Daripada dua hadis ini, apa yang boleh kita dapati sebagai keuntungan apabila mengucapkannya adalah:
1. Mendapat balasan harta kekayaan di syurga kelak. Ia seolah-olah menjadi sumber kepada harta kekayaan di syurga; setiap ucapan akan di ‘redeem’ dengan sejenis harta yang bernilai kelak. Semakin banyak disebut, semakin kaya dan semakin banyak harta tersebut akan kita perolehi. Siapa yang tahu harta itu bagaimana rupa dan bentuknya? Tiada siapa yang tahu. Jika nak tahu, perlu masuk syurga terlebih dahulu, betul? Siapa yang mahu banyak harta itu, perbanyakkanlah menyebutnya. Dari sudut psikologi, seolah-olah Nabi cuba membangkitkan rasa ingin tahu, kemudian diikuti dengan wujudnya sedikit unsur ‘surprise’, agar kita sama-sama merasai keterujaan untuk menambah amal dan seterusnya menjadi penghuni syurga yang tinggi darjatnya.

2. Menjadi ubat kepada 99 jenis penyakit, salah satunya adalah kebimbangan. Mungkin kepada para pelajar, mahasiswa dan mahasiswi yang sedang bimbang dengan urusan pelajaran masing-masing, misalnya yang sedang sibuk menyiapkan tesis… Mungkin adakalanya kita mengalami kebuntuan dalam menyelesaikan tesis, tugasan dan sebagainya… maka, lafazkanlah ucapan ini, dengan menghayati dan meresapkan pengertian ‘tiada kuasa dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah’ ke dalam hati. Sesungguhnya tesis itu, tugasan itu, kebuntuan dan cabaran itu, semuanya adalah dari Allah. Semuanya ciptaan Allah yang diletakkan dalam diri kita. Allah letak, bukannya Allah campak. Dia meletakkannya secara elok-elok. Jika kita menyedari hakikat bahawa ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah ciptakan, siapalah lagi yang boleh menghilangkannya dan menjadikan keadaan stabil seperti sediakala? Tentu sahaja Allah. Dia menciptakan, hanya Dialah yang mampu menghilangkannya. Tentu sahaja. Dan kita tiada kuasa walau sedikit pun.

Kisah berkenaan::
-Mavi Marmara
Ini mengingatkan penyusunbicara tentang suatu kisah benar yang diceritakan oleh aktivis jamaah yang telah mengikuti pelayaran kapal Mavi Marmara ke Palestin suatu ketika dulu. Semasa ditahan di dalam kapal, beliau dibaringkan dan dipijak oleh penceroboh. Dalam kesakitan, beliau mengatakan dalam hatinya lebih kurang begini isinya: ‘Ya Allah, kaki yang memijakku ini adalah kaki hambaMu, dia tak dapat mendatangkan mudarat pun, melainkan jika dengan izinMu (dia tak berkuasa pun, hanya Engkau saja yang berkuasa)’.. Kemudian kesakitannya hilang. Dia menjadi keliru, (adakah dia pengsan atau separuh sedar), tapi akhirnya dia menyedari bahawa dia sedar sepenuhnya. Dan tidak jauh darinya ada yang telah terkorban. Darahnya berbau wangi, semerbak. Itulah tanda kekuasaan Allah, penghormatan buat mereka yang syahid. Sesungguhnya, mudarat ataupun kesakitan yang dialaminya walaupun secara pandangan mata kasar adalah didatangkan oleh manusia… namun hakikatnya Allah yang mengizinkannya berlaku. Dan Allah jua yang mampu menghilangkannya.

-Bilik kolej
Sewaktu penyusunbicara datang pada semester baru untuk mendaftar bilik di kolej, masalah berlaku. Sebelum ini sudah dihubungi pihak pentadbiran, dan mereka menyatakan boleh datang mendaftar pada tarikh sekian-sekian. Namun apabila datang pada tarikh tersebut, mereka menyatakan perlu tunggu lagi satu minggu. Penyusunbicara cubamenyelesaikannya secara menghubungi pihak atasan syarikat, namun hanya menemui jalan buntu. Maka terpaksalah menjadi gelandangan. Terbayang akan menjadi gelandangan selama seminggu atau mungkin lebih, dalam hati rasa biasa-biasa, ‘mungkin ini pengalaman yang susah dapat’ bisik hati ini. Penyusunbicara menunaikan solat sunat, dan sengaja memperbanyakkan ucapan ‘Alhamdulillah’.Ya, Alhamdulillah syukur menjadi ucapan yang diperbanyakkan, kerana walaupun susah tiada tempat tinggal, tetapi apabila mengenangkan ramai muslim di luar sana yang dihimpit kemiskinan, fakir – sesungguhnya penyusunbicara adalah jauh lebih beruntung keadaannya berbanding mereka semua. Tidak patut rasanya jika lupa atau enggan untuk bersyukur hanya kerana musibah kecil dan sementara ini, sedangkan pada masa sama nikmat yang diperolehi adalah lebih banyak. Lagi pula, kerana lokasi terget adalah masjid. Ini bermakna lebih banyak masa akan dihabiskan dalam masjid, bermakna lebih banyak pahala mudah yang akan didapati hanya dengan hasil niat iktikaf. ‘Takpelah, dapat tambah pahala, Allah memang saje nak aku duduk lama kat rumah Dia’, bisik hati ini. Ibu menelefon bertanyakan khabar, dan akhirnya terbongkar juga masalah yang dihadapi. Ibu kerisauan. Beg diletakkan di masjid. Malam itu masjid menjadi tempat tidur. Keesokan petangnya selepas asar, penyusunbicara bergerak ke surau kolej. Duduk di dalamnya sambil melakukan kerja sedikit. Memandangkan orang masih tak ramai, dalam surau itu sempat juga penyusunbicara menyanyi kecil. Lagu Maher Zain bertajuk ‘Freedom’.

Tiba-tiba ada seorang akak dari pentadbiran kolej masuk ke ruang lelaki dan beliau mula bertanyakan tentang saya. Seterusnya menawarkan bilik kosong kepada saya. Alhamdulillah dapat bilik, dan masalah telah selesai. Rasanya, akak itu kehairanan dengan suara nyanyian penyusunbicara, itulah yang menyebabkannya masuk ke ruang solat lelaki tiba-tiba. Setelah dapat kunci, tanpa berlengah penyusunbicara menelefon ibu, bertanyakan “Ma ada doa(berhubung masalah ketiadaan tempat tinggal) ke semalam? Doa camne?” Ibu memberitahu sememangnya ada. Di kala ibu tersedar tengah malam, ibu mendoakan keadaan saya dan mengucapkan ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ dan juga ‘Rabbi yassir wala tu’assir’ (Tuhan, permudahkanlah, janganlah disusahkan). Berulang-ulang. Rupanya, berita saya tidak mendapat bilik pun  sampai kepada nenek. Berkat doa ibu, nenek dan zikir-zikir yang diajarkan Nabi. Juga, mengajar diri yang hina ini agar tidak lupa bersyukur di kala ditimpa musibah.


“Tiada daya dan upaya melainkan dengan Mu Ya Allah

[1] Sahih Bukhari Jilid 009, Buku 093, Hadis Nombor 484.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan