Jumaat, 28 Disember 2012

Surah An Nahl, 16:99. Tawakal. Melindungi diri dari gangguan syaitan


A099
Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
[Surah An Nahl, 16:99]
Tafsir ibn Kathir: As-Sauri mengatakan, makna yang dimaksudkan ialah syaitan tidak mempunyai kekuasaan untuk dapat menjerumuskan hamba-hamba Allah ke dalam suatu dosa yang mereka tidak bertaubat darinya. Ulama lainnya mengatakan bahawa makna ayat ialah syaitan tidak mempunyai kemampuan untuk menggoda mereka. Ulama lainnya lagi mengatakan, ayat ini semakna dengan apa yanag disebut oleh firmanNya dalam ayat lain iaitu dalam surah Al Hijr: 40, yang terjemahannya: ‘kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka’.

Di antara kaedah untuk mengelakkan diri dari dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang diperolehi dari ayat ini adalah:
1)     Menjadi orang yang beriman.
2)     Menjadi orang yang berserah bulat-bulat(bertawakal) kepada Allah.

Untuk menjadi orang yang beriman yang sebenar-benar beriman, mungkin perlu untuk kita melihat dalam skop/pengertian yang luas dan menyeluruh. Ia tidak hanya cukup sekadar yakin dan percaya bahawa ‘Tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah’. Lihat rukun-rukun iman, dan mungkin ia tidak hanya cukup sekadar melihat rukun-rukun itu dari pandangan luar/’kulit’. Ia perlu diteliti pengertiannya lebih mendalam. Dan perlu kita berhati-hati dan memerhatikan dalam setiap gerak kerja atau perlakuan, percakapan dan pemikiran; adakah kita memenuhi kehendak-kehendak rukun-rukun iman tersebut.

Poin ke dua. Inilah di antara kelebihan yang diperolehi oleh orang-orang yang bertawakal kepada Allah; tidak hanya dia dikasihi Allah, namun apabila seseorang itu memantapkan keimanan dan bertawakal, seseorang itu turut terhalang dari gangguan syaitan yang membisikkan kejahatan dan keraguan dalam hati.

Dalam ayat yang seterusnya (surah An Nahl:100),
A100
Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.

Tafsir Ibn Kathir: Mujahid mengatakan, makna ‘yatawallaunahu’ ialah orang-orang yang taat kepada syaitan. Sedangkan yang lainnya mengatakan bahawa orang-orang yang menajdikan syaitan sebagai penolongnya, bukan Allah. Yakni mereka memepersekutukan syaitan dengan Allah dalam penyembahannya. Dapat ditakwilkan bahawa huruf ‘ba’ pada ayat ini (…bi hi musyrikin) bermakna sabahiyah, yakni disebabkan ketaatan mereka kepada syaitan, jadilah mereka orang-orang yang mempersekutukan Allah. Ulama lainnya mengatakan bahawa makna ayat ialah mereka bersekutu dengan syaitan dalam harta benda dan anak-anaknya.

Semoga Allah menetap dan mengukuhkan keimanan dalam hati kita, dan semoga Allah melindungi kita dari gangguan bisikan syaitan yang sentiasa mencari peluang merosakkan amal ibadah yang dilakukan saban waktu…



Jumaat, 21 Disember 2012

AkramArt:kisah di sebalik

Kisah di sebalik: pada asalnya dua subjek ini iaitu lelaki dan wanita adalah dua lakaran yang berasingan. Lelaki yang sedang duduk itu adalah lakaran yang dihasilkan sempena Ramadhan yang saya beri judul 'Mencari Al Qadr'. Lukisan wanita itu antara yang saya paling gemar, saya berikan judul sebagai 'bidadari'. Ada juga kisah di sebalik terhasilnya lakaran wanita ini..Kemudian dicantumkan dan diedit/diberi tambahan warna.. Ringkas sahaja, maka, terhasillah karya ini..

madah...

Orang mencari dan mengenal erti,
astas dasar sendiri-sendiri,
Hidup tanpa hidup adalah mati,
Nyata dalam pentafsiran hakiki
tentang maksud keempunyaan dan serah-kembali
Manusia sewajibnya diajar tentang
menjalani kesempurnaan...
mengangkat darjat diri ke makam agung
Mentahkik yang setitik dari mana asalnya
dan ke mana tempat kembali

Belajar dan menerima faham
daripada kurnia dan anugerah
Atas campakan taufik dan hidayah
ke dalam qalbu manusia
Setelah itulah engkau diiktiraf sebagai
manusia-manusia yang yakin dan percaya,

Bicaraku,
Jikalau hendak kugapai sejuta makna dalam keagungan makrifat, rasanya tidak ada jalan senang..Maka tabahkanlah hati dengan rela..relakah engkau memberi jiwa pada kata-kata? Sesungguhnya bersihkanlah hati umpama bejana itu, hadapkanlah wajah kepada kiblat dengan penuh khusyuk.. Semoga Yang Maha Pencinta memandang penuh kasih...

Ahad, 16 Disember 2012

Pendahuluan


Struktur Blog.
Blog ini terbahagi pada dua pages iaitu 'Home' dan 'AkramArt'. Senarai pages boleh dilihat di bahagian kanan atas berdekatan bahagian 'post'. 'Home' adalah ruangan utama yang memuatkan tulisan. Manakala 'AkramArt' pula mengumpulkan apa sahaja berkaitan hasil seni kreatif penyusunbicara (ilustrasi, komik, lakaran, contengan, dan sebagainya) dan mungkin juga hasil seni dari pihak lain sebagai 'selingan'. Tulisan dalam blog ini dibahagikan kepada beberapa kategori atau label:
a)     Back to Basic. -asas-asas Islam.
b)     Ibadah::Al Quran::Hadis.
c)      Bicara Kalbu.
d)     Baitul Muslim. –bagaimanakah caranya membahagiakan isteri?
e)     Madah pujangga::Puitis. -berpujangga dan berpuitis, khas untuk isteri anda.
f)        Umat. -tentang hal ehwal umat.
g)     Ceritera.
(dan lain-lain, jika perlu)
a) Back to Basic.
          Berkaitan perkara-perkara, konsep dan kerangka asas dalam Islam. Ini memudahkan mereka yang baru ingin memahami Islam, seperti kanak-kanak dan juga golongan bukan Islam. Tidak terkecuali diharapkan berguna juga pada golongan selain disebutkan di atas. Tatkala manusia disibukkan dengan perkara-perkara yang tinggi di puncak, mungkin sahaja seseorang itu akan terlupa tentang konsep asas yang patut dipegang kukuh sebagai akar. Label ini diharap membantu untuk perkara ini.
            b) Ibadah::Al Quran::Hadis.
            Perbincangan yang memfokuskan kepada amal ibadah, amal soleh, dan petikan ayat-ayat Al Quran dan hadis-hadis terpilih.
            c) Bicara Kalbu.
         Sekadar bicara yang berlegar di minda penyusunbicara, mungkin sahaja dalam gaya santai dan menyentuh topik yang santai sahaja. Tiada tetapan yang benar-benar khusus, sekadar luahan yang dirakamkan dalam bentuk tulisan.
            d) Baitul Muslim.
            Berkaitan keluarga muslim dan hubungan di antara suami dan isteri. Khas untuk mereka yang ingin jadi suami mithali, subjek yang menjadi fokus adalah berkisar kepada persoalan ‘bagaimanakah caranya membahagiakan isteri? ’. =p. Mengandungi tips, cadangan dan idea yang diharapkan berguna untuk menjadi suami yang terbaik dan membuatkan isteri bahagia di dunia dan akhirat. Turut di alu-alukan kepada golongan bukan muslim - silakan ambil manfaatnya jika ada.
            e) Madah pujangga::Puitis.
            Bermadah pujangga, berpuitis, bersastera, ber’jiwang’, dan seumpama dengannya. ;)
            f) Umat.
Maklumat-makulmat perkembangan dan hal ehwal yang berlaku dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Mari peduli umat.
g) Ceritera.
Kisah-kisah fiksyen atau novel. Melazim dan melatih menulis cerita.
           
Objektif penulisan dibuat.
Pelbagai karya tulisan, buku, peringatan dan ilmu yang diperolehi dari pelbagai sumber yang baik adalah sewajarnya disebarkan untuk manfaat khalayak. Sesungguhnya, umat ini dimuliakan dengan tugas seumpama ini (menyeru kepada Allah, kebaikan dan mencegah kemungkaran) sebagaimana firman Allah
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah Yang Maha Pengampun dan beramal soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku dari orang Islam” [Fussilat 41:33].

Pelbagai perkara yang berlegar di minda, alangkah elok sekiranya ia dirakamkan dalam bentuk tulisan dan disimpan dalam ‘galeri’ yang tidak mudah hilang dan mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja yakni blog. Dengan ini, ia memudahkan rujukan semula, membiasakan diri dalam bidang penulisan, membantu menyusun ilmu yang diketahui, agar penyusunbicara dan sesiapa sahaja turut akan mendapat manfaat, mudah-mudahan insya Allah…

Juga, membiasakan diri dalam penulisan cerita atau novel..

Semoga meningkatkan minat dan kesedaran muslim dalam mengkaji kandungan Al Quran dan hadisdalam peranannya mengemudi kehidupan ke jalan yang lurus…

Semoga ini diterima sebagai amal di sisi Allah SWT…

Format tulisan.
Tulisan seboleh mungkin diringkas dan dipadatkan. Format tulisan adalah seboleh-bolehnya lebih banyak menggunakan bahasa Melayu tinggi dan gaya bahasa standard sepertimana yang biasa digunakan dalam buku, majalah dan tulisan ilmiah. Gaya bahasa santai cubadikurangkan tetapi mungkin akan terselit jugak la =).

Layout Template.
Penyusunbicara suka dengan ilustrasi dan warna layout template ini, kecuali bunga-bunga yang dirasakan agak tidak kena dengan citarasa lelaki..=p. Tetapi tidak mengapalah, buat  waktu ini, inilah layout yang digunakan. Ilustrasinya cantik, warna biru bergabung dengan hitam, black always mixed well witth blue..semoga warna ini bersatu nanti dengan sempurna, ameen insya Allah.

Dibenarkan menyebar sebarang kandungan dalam blog ini bagi manfaat bersama tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu atau menyatakan sumbernya(alamat url blog). Tetapi menyertakan sumbernya adalah lebih baik bagi tujuan memudahkan pembetulan jika terdapat sebarang kesilapan.

Sekian…

(^_^)


Isnin, 10 Disember 2012

Masa



7/12/2012. Jumaat.

Masa adalah kurniaan Allah. Umpama rezeki, masa juga sepatutnya kita syukuri.. Dan dihargai. Pernahkah kita sedang duduk atau baring tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat atau produktif..walau sesaat dua? (samada kerana terleka ataupun kerana tidak dapat berbuat sesuatu disebabkan halangan tertentu..atau apa jua sebabnya)

Mungkin pernah, bukan. (mmm..‘mungkin’? =p)

Katakan, kita namakan tempoh masa seumpama itu sebagai ‘masa terbuang’ atau ‘masa terbazir’.

Jika kita menyedari kita sedang berada dalam situasi ‘masa terbuang’ atau ‘masa terbazir’ yang disebutkan tadi, paling tidak, sekurang-kurangnya cubalah gunakan lidah untuk melafazkan istighfar/tasbih/tahmid/takbir/selawat atau apa jua bentuk zikrullah.. walau tempoh ‘masa terbazir’ itu hanya sesaat atau sepuluh saat. Atau, jika pun lidah tidak mahu bergerak..biarkanlah hati itu berzikrullah.

Bagaimanakah sekiranya ketika dibangkitkan di akhirat kelak (dan kita tergolong dalam golongan kurang bernasib baik lalu dihisab dengan hisab yang teliti/detail – kita telah disoal pada setiap saat dan hembusan nafas yang dihela).. dan kita dipersoalkan tentang tempoh ‘masa terbazir’ itu..: lalu, apakah jawapan kita?

Sungguh malang mereka yang menerima nasib ‘dihisab dengan teliti’..
Sekurang-kurangnya, jika tempoh ‘masa terbazir’ itu telah terisi dengan zikrullah.., berkuranglah sedikit beban kesusahan yang akan tertanggu ketika penghisaban kelak..

Sesungguhnya di antara ciri-ciri penghuni neraka itu adalah tidak takut pada hari penghisaban..
“(27) Sesungguhnya mereka tidak takut kepada hisab” [An Naba’(78:27)].
Yang mana, beberapa ayat sebelum itu iaitu ayat 21-26 menceritakan perihal penghuni neraka.

Takutlah pada hari akhirat kerana hari itu adalah hari yang dahsyat..dan, bagaimanakah untuk kita dapat sedikit gambaran tentang hari itu, bagi memahami bahawa ia adalah sesuatu yang dahsyat..? Lihatlah pada firman Allah ini:
“(17) Dan apakah (jalannya) engkau mengetahui (dapat mengetahui kedahsyatan) hari pembalasan itu?
(18) Kemudian (sekali lagi) apakah (jalannya) engkau mengetahui (dapat mengetahui kedahsyatan) hari pembalasan itu?
(19) (Hari itu ialah) hari seseorang tidak terdaya sedikitpun untuk menolong orang lain, dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah. “
[Al Infithar (82:17-19)].

Dan, berkenaan tempoh ‘masa terbazir’ yang dinukilkan di atas, dibenarkan lagi dengan firman Allah:
“(1) Demi masa.
(2) Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian.
(3) Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran & saling menasihati supaya menetapkan kesabaran”
[Al asr(103:1-3)].

“Subhanallah, Maha Suci Allah.. Selamatkanlah kami di dunia dan akhirat..dari kedahsyatan hari pembalasan”.