Rabu, 12 Februari 2014

Muafiq dan masbuq

Dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Kelantan.
Cetakan pertama: 1995.

Kandungan dan susunan buku ini sama seperti risalah kuning yang dipetik oleh Dr Abd Basit dalam kuliahnya: (“Risalah kecil berwarna kuning berjudul “Muafik dan Masbuk”. Risalah ini diambil dari kitab berjudul ‘Al Qauluttam fi ahkamilmakmumi wal imam ala mazhabil imami Syafie’. Kitab tersebut telah diterjemah dan diringkaskan oleh Yusof Zaki, dengan judul ‘Masalah imam dan makmum’.”)
Nota:
Artikel ini diterjemah dan disusun semula dari risalah asal edisi jawi, dengan sedikit tambahan dari penyusun bicara (‘pen’), yang dinyatakan dalam bentuk kurungan; atau dari sumber lain yang dinyatakan.  Risalah berkenaan hanya memuatkan perbincangan muafiq dan masbuq dari aliran mazhab Syafie sahaja. Sila maklumkan jika terdapat sebarang kesilapan. Semoga mendatangkan manfaat di dunia dan akhirat buat semua dalam apa jua bentuk, mudah-mudahan kita digolongkan Allah s.w.t. dalam golongan orang-orang yang bertakwa, Allahumma amin.


Makna / definisi

Masbuq

Masbuq pada bahasa = tertinggal.

Istilah = makmum tak cukup masa untuk menghabiskan bacaan fatihah, dengan bacaan sederhana sebelum imam rukuk.

Muafiq

Bahasa = bersekali.

Istilah = makmum mempunyai masa yang cukup untuk menamatkan bacaan fatihah, dengan bacaaan sedehana sebelum imam selesai rukuk.

Makmum menentukan statusnya samada masbuq atau muafiq

Jika seorang makmum ating untuk solat berjamaah di belakang imam yang berdiri dalam solat, makmum itu hendaklah terus bertakbiratul ihram.

  1. Jika solat itu adalah solat bacaan lantang (jahr/jahar); makmum tersebut boleh menentukan samada dia adalah masbuq atau muafiq.

Jika dia yakin akan menyempurnakan bacaan fatihah sebelum imam rukuk, maka dia adalah makmum muafiq.

Jika dia yakin dia pasti tidak sempat menyempurnakan fatihah kerana imam hampir rukuk, maka dia adalah makmum masbuq.

  1. Jika solat itu adalah solat bacaan perlahan, dan dipercayai imam sudah lama berdiri dalam solat, makmum tersebut hendaklah terus bertakbiratul ihram, jangan berlengah-lengah bahkan terus membaca alfatihah.

Jika setelah dia dapat menyempurnakan bacaan alfatihah barulah imam rukuk, maka dia adalah muafiq.

Jika dia belum sempat menyempurnakan alfatihah tetapi imam sudah rukuk, maka dia adalah masbuq.

Tatacara

Tatacara makmum masbuq.

Setelah makmum yakin bahawa dia adalah masbuq, dia hendaklah terus membaca alfatihah. Jangan menghabiskan masa dengan bacaan-bacaan sunat yang lain. Jika imam rukuk, dia hendaklah terus rukuk – tidak perlu menamatkan bacaan alfatihah.

Jika makmum itu rukuk dan sempat berthamakninah bersama imam ketika rukuk itu, dia dikira mendapat rakaat itu.

Jika makmum itu tidak sempat berthamakninah bersama imam dalam rukuk itu, dia dikira tidak mendapat rakaat itu. [pen- makmum perlu terus mengikut imam seperti biasa (iktidal bersama imam, sujud bersama imam, duduk di antara dua sujud dan seterusnya; sehinggalah imam masuk ke rakaat yang seterusnya).] Selepas imam menamatkan solat (iaitu selepas salam), makmum perlu mencukupkan bilangan rakaat solatnya itu.

Tatacara makmum muafiq.

Setelah makmum yakin bahawa dia adalah makmum muafiq, dia hendaklah menamatkan bacaan alfatihah, walaupun tertinggal tiga rukun yang panjang seperti imam rukuk rukuk, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, kemudian imam sujud yang ke dua. Ketika ini jika makmum dapat tamatkan bacaan alfatihah dia perlu rukuk, i’tidal, sujud dan mengikut imam seterusnya seperti biasa.

Tetapi jika ketika ini makmum belum lagi tamat bacaan alfatihahnya, apa yang perlu dilakukannya? Ia adalah seperti berikut:

-sebelum imam pindah berdiri (masuk ke rakaat seterusnya), atau imam duduk tasyahud (bagi kes imam berada dalam rakaat ke dua atau rakaat akhir), makmum mempunyai dua pilihan untuk dilakukan. Dia perlu memilih salah satu daripadanya:

-Pertama, dia terus sujud mengikut imam dalam sujud, dalam tahiyat awal atau dalam qiam, dengan meninggalkan acara tertib solat asal bagi dirinya. Makmum dikira tidak mendapat rakaat tersebut dan hendaklah mencukupkan bilangan rakaat solatnya selepas imam selesai solat.

-Ke dua, makmum berniat mufaraqah dari imam. Jangan lagi mengikut imam. Tetapi hendaklah dia bersolat dalam keadaan dia tidak lagi berjamaah.

[pen-tiga rukun yang panjang adalah rukuk, sujud yang pertama dan sujud yang ke dua].

Rakaat makmum masbuq dan muafiq

Makmum masbuq mendapat rakaat jika sempat rukuk bersama imam dengan thamakninah, walaupun dia tidak sempat tamatkan bacaan alfatihah.

Makmum muafiq mendapat rakaat jika dapat tamatkan bacaan alfatihah dan dapat rukuk sebelum imam bangkit dari sujud ke dua (bangkit dari sujud untuk berdiri atau untuk membaca tahiyat).

Masbuq atau muafiq boleh berlaku terhadap makmum dalam mana-mana rakaat solat.

Sebab makmum muafiq ditinggalkan oleh imam

Lazimnya, jika seseorang makmum tiba awal berdiri di belakang imam untuk berjamaah dia tidak akan ditinggalkan oleh imam dalam melakukan rukun-rukun solat. Tetapi ada ketikanya dia mungkin boleh tertinggal disebabkan berlaku sesuatu perkara yang berpunca samada dari dirinya sendiri ataupun imam.

  1. Berpunca dari dirinya sendiri (makmum):
1.           Bacaan alfatihahnya semulajadi lambat.
2.           Makmum yakin dia belum lagi membaca alfatihah atau was was samada sudah membaca alfatihah atau belum. *Dr Basit – makmum tetap kena habiskan alfatihah.
3.           Makmum tidak terus membaca alfatihah sebaik sahaja selepas takbiratul ihram kerana menunggu imam tamat membaca alfatihah. [pen- kes ini lazimnya berlaku semasa solat bacaan lantang/jahar – contohnya  solat isya’].
4.           Makmum mengambil masa panjang kerana membaca bacaan-bacaan sunat.
5.           Makmum memanjangkan sujud samada secara sengaja atau tidak sengaja.
6.           Makmum mengambil masa panjang untuk membaca tasyahud awal.
7.           Makmum tertidur.
a.      semasa duduk untuk membaca tasyahud awal.
b.      Semasa duduk antara dua sujud sehingga imam rukuk atau hampir rukuk, barulah dia sedar.
8.           Makmum ragu adakah dia masbuq atau muafiq.
9.           Lalai dan terus terlupa bahawa dia berada dalam solat.
10.       Tersalah sangka ketika mendengar takbiratul intiqalat imam. (selepas rakaat kedua) makmum duduk dan membaca tasyahud awal.
11.       Terlalu lambat bergerak semasa berpindah dari satu rukun ke satu rukun sedangkan imam tidak membaca tasyahud awal, dan apabila makmum selesai membaca tasyahud, makmum pun bangun dan didapati imam sudah rukuk atau hampir rukuk.
12.       Ditinggalkan oleh imam kerana menghabiskan masa dengan berkeadaan was-was.
13.       Habis masa kerana mengajar atau menegur imam-imam yang terlekat bacaan.

  1. Berpunca dari imam:
1.           membaca atau bergerak (berpindah dari satu rukun ke rukun yang lain) terlalu cepat.
2.           meninggalkan bacaan surah selepas membaca alfatihah. *Dr Basit – contoh: selepas tamatkan bacaan alfatihah, imam terus rukuk tanpa membaca surah lazim. Jika begini, makmum tetap perlu tamatkan bacaan alfatihahnya.

Dalam kes-kes di atas ini, makmum perlu tamatkan bacaan alfatihah.

Keadaan makmum yang dikira masbuq

Jika makmum dalam keadaan masbuq, maka dia bolehlah membaca alfatihah sekadar yang dia sempat sahaja. Kemudian terus rukuk bersama imam. Keadaan-keadaan yang membuatkan makmum dianggap masbuq:
1.            Makmum tiba untuk takbiratul ihram semasa imam sedang atau hampir rukuk [pen- makmum mengetahui imam hampir rukuk berdasarkan bacaan surah imam, hal ini berlaku jika imam membaca secara lantang].
2.            Makmum tiba untuk takbiratul ihram dalam solat bacaan perlahan (sirriyah), dan tiba-tiba imam terus rukuk.
3.            Makmum tak dapat terus bersujud untuk mengikut imam setelah imam sujud, kerana berlaku kesesakan.
4.            Makmum sengaja melengahkan memulakan takbiratul ihramnya sehingga imam hampir rukuk.

Masalah yang berlaku khilaf ulama dalam menentukan status; adakah masbuq atau muafiq

Segala tatacara dan kaedah yang telah lepas tidak disebut perkara-perkara atau masalah yang berlaku khilaf di kalangan ulama, dan bolehlah diikuti oleh makmum semasa menunaikan solat berjamaah. Tetapi sebagai menambahkan lagi pengetahuan, bolehlah kita mengikuti sedikit sebanyak tentang khilaf ulama dalam masalah muafiq dan masbuq.

1.              Makmum yang tertidur dan tetap papan punggungnya semasa membaca tasyahud awal dan tersedar setelah imam hampir rukuk. Menurut Syeikh Ramli dia dikira sebagai makmum muafiq – iaitu dimaafkan ketinggalan dari imam sehingga tiga rukun panjang untuk membaca alfatihah. Tetapi kata Syeikh Ibn Hjr dia dikira sebagai makmum masbuq.
2.              Makmum yang sedang mengikut imam tiba-tiba dia mendengar takbir intiqal, dia tersalah sangka imam membaca tahiyat awal, dia pun duduk membaca tahiyat awal, sedangkan imam tidak duduk membaca tahiyat awal. Apabila imam takbir pula untuk rukuk barulah dia sedar dia pun bangun untuk membaca alfatihah. Kata Imam Syeikh Ramli dia dikira sebagai makmum muafiq. Tetapi kata Syeikh Ibn Hjr dia adalah masbuq.
3.              Makmum terlupa dia adalah makmum semasa sujud atau semasa tahiyat awal. Apabila imam hampir rukuk barulah dia teringat dia adalah makmum dan terus berdiri untuk membaca alfatihah. Kata Syeikh Ramli – dia adalah muafiq. Kata Ibn Hjr – dia adalah masbuq.
4.              Makmum ragu-ragu adakah dia masbuq atau muafiq. Kata Syeikh Ramli dan Khatib Syarbini – dia adalah muafiq. Mengikut kenyataan dalam kitab ‘thfh??’ – dia adalah masbuq.

Penutup: Nota

1.            Makmum muafiq yang sempat menghabiskan bacaan alfatihah sedangkan imam sudah bangun berdiri atau duduk membaca tasyahud dan makmum itu tidak juga berniat mufaraqah atau tidak terus sujud dan bangun mengikut imam, maka solat makmum itu batal.
2.            Makmum masbuq tetapi dia cuba juga untuk menghabiskan bacaan alfatihah sehingga imam sujud makmum hendaklah sujud mengikut imam ataupun berniat mufaraqah. Jika tidak berbuat demikian solatnya batal.
3.            Makmum muafiq yang telah rukuk bersama-sama imam tiba-tiba teringat bahawa dia masih belum membaca alfatihah, kalau dia bangun berdiri dan meninggal (iqtida’) mengikut imam, solatnya batal.